Kartika ditaja tunaikan umrah ogos ini

Tuesday, June 15, 2010


Kira-kira dua bulan menyepikan diri, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 33, akhirnya muncul selepas selesai menjalani hukuman masyarakat selama tiga minggu di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, Kuantan, April lalu.

Kartika yang ditemani bapanya, Shukarnor Abdul Mutalib berkata, kini beliau hanya mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap keluarga dan kerjaya.

Menurutnya, selepas selesai menjalani hukuman itu beliau lebih berasa tenang dan bebas daripada segala belenggu yang melanda dirinya selama ini.

“Walaupun kehidupan saya kini semakin tenang, namun pengalaman diperoleh sepanjang berkhidmat di rumah kebajikan itu tidak dapat dilupakan,” katanya ketika ditemui, di sini.

Pada 2 April lalu, Kartika menjalani hukuman khidmat masyarakat selama tiga minggu selepas hukuman enam sebatan dikenakan kerana kesalahan minum arak diringankan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Ibu tunggal itu dijatuhi hukuman enam sebatan dan denda RM5,000 pada 18 Julai 2009 selepas didapati bersalah minum arak di khalayak ramai di sebuah resort di Cherating, di Kuantan, Pahang.

Beliau berkata, hanya Allah sahaja yang tahu perasaannya ketika menaburkan bakti di rumah kebajikan itu.

“Demi menjunjung titah Tuanku Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, saya menggalas hukuman yang diberi walaupun terpaksa berpisah dengan dua anak termasuk salah seorang daripada anak istimewa, namun saya percaya segalanya mempunyai hikmah tersendiri,” katanya.

Katanya, pelbagai ada perkara berlaku sama ada secara sengaja ataupun sebaliknya sepanjang menjalani tugas sebagai sukarelawan di rumah kebajikan itu.

“Bagaimanapun, biarlah tanggungjawab yang digalas ketika berkhidmat sepanjang tiga minggu itu dijadikan sebagai kenangan,” katanya.

Kartika berharap hukuman yang dijalani itu memberi kesan kepada orang Islam lain supaya tidak menyentuh arak.

“Perjalanan yang saya tempuhi cukup panjang dan hakikatnya, keinsafan terhadap kesalahan itu sudah lama terbit iaitu sebelum saya ke rumah kebajikan itu lagi.

“Saya menjadi tumpuan pihak media dan pada masa sama, saya akui telah mencemarkan nama baik keluarga, malah memberi kesan kepada rumah tangga. Apa yang pasti, sebelum menjalani hukuman itu, saya sebenarnya sudah insaf,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ibu tunggal kepada dua cahaya mata ini akan berangkat ke tanah suci mengerjakan ibadat umrah bersama bapanya pada awal Ogos ini.

“Saya bersyukur kerana hajat untuk menunaikan umrah hampir tercapai. Terima kasih diucapkan kepada Gemilang Travel and Tours Sdn Bhd (GETT) yang sudi menaja saya serta bapa untuk ke tanah suci Makkah.

Sementara itu, Shukarnor berasa sedikit terkilan dengan layanan yang diberikan pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) ketika pelaksanaan hukuman itu dijalankan.

“Saya sendiri terpaksa hantar (Kartika) ke rumah kebajikan itu dan berlaku seperti lepas tangan,” katanya.-s/harian